DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) bergambar selepas berkenan menerima menghadap Datuk Seri Azam Baki (kiri) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 5 Ogos 2021. Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan). Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Teliti siasat kes rasuah, jangan ada terlepas

SHAH ALAM, 5 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara telus dan teliti kes rasuah di negeri ini.

Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah siasatan itu bagi memastikan pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

Baginda juga menyeru perbicaraan sedemikian disegerakan manakala mahkamah tidak melayan penangguhan kes tanpa alasan kukuh berikutan rakyat muak dan bosan melihat pendakwaan yang berlarutan terlalu lama.

“Baginda turut menyasarkan agar gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin menzahirkan perkara itu ketika menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan di sini selama dua jam.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah.

Pada 28 Julai, Sultan Selangor memberi amaran akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat rasuah.

Baginda bertitah tindakan tegas perlu dikenakan kerana perbuatan rasuah boleh mencemar nama baik seluruh pegawai Kerajaan Negeri.


Pengarang :