Sesi perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah istiadat perasmian Dewan Negeri Isnin ini dibuat ringkas

SHAH ALAM, 20 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan perasmian istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan dibuat ringkas susulan peningkatan kes Covid-19.

Speaker Ng Suee Lim berkata istiadat hanya membabitkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj manakala kawalan kehormatan tentera dan sesi bergambar Baginda bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) dibatalkan.

Jelasnya kehadiran pada majlis itu juga dihad kurang 200 orang manakala ADN tidak perlu mengenakan pakaian rasmi istiadat memadai baju kebangsaan bagi wakil rakyat beragama Islam manakala sut lounge serta bersongkok bagi bukan Islam.

“Langkah ini membolehkan kita mengawal tatacara operasi piawai (SOP),” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Suee Lim berkata semua ADN, pegawai kerajaan dan pengamal media perlu membuat ujian calitan wabak sebelum menghadiri persidangan DNS yang berlangsung sembilan hari hingga 6 September.

“Kita juga bekalkan kit ujian kendiri kepada semua ADN untuk mereka lakukan saringan sekurang-kurangnya dua hari sekali, ini bagi memastikan persidangan lancar dan penularan seperti di Parlimen tidak berlaku di sini,” katanya.

Selangor negeri pertama mengadakan sidang tersebut. Sebelum ini, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadual bermula pada 12 Ogos ditangguh kepada 22 Ogos.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal https://selangorkini.my.


Pengarang :