Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan vaksin Covid-19 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam program Penyerahan Vaksin Selangor kepada Kerajaan Pulau Pinang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Seberang Perai (SP Arena) pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sumbang bekalan vaksin bukti solidariti perangi Covid-19 – MB

SEBERANG PERAI, 31 OGOS: Sumbangan bekalan vaksin oleh Kerajaan Selangor kepada Pulau Pinang adalah bukti solidariti dalam memerangi pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian 20,000 dos vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang secara percuma itu mampu memanfaat seramai 10,000 individu.

“Alhamdulillah setelah pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat dilihat trend penurunan kes.

“Oleh demikian, dalam mesyuarat bersama ketua menteri saya memberitahu jika tidak melakukan sesuatu tindakan vaksinasi dengan segera di Pulau Pinang dan beberapa negeri lain mungkin akan berlaku lonjakan kes seperti di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam program Penyerahan Vaksin Selangor kepada Kerajaan Pulau Pinang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Seberang Perai (SP Arena) pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita berharap sumbangan vaksin kepada Pulau Pinang dapat menggerakkan imunisasi dengan pantas dan dapat kurangkan kes,” katanya ketika penyerahan vaksin Selangor kepada Pulau Pinang di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Pusat Konvensyen Seberang Perai di sini, hari ini.

Amirudin berkata berdasarkan proses vaksinasi dalam tempoh sebulan di seluruh Selangor kapasiti penggunaan katil di Selangor dapat dikurangkan daripada 130 peratus kepada 88 peratus iaitu lebih 50 peratus penurunan.

“Saya percaya dengan sumbangan diberikan ini adalah usaha bersama memerangi Covid-19,” katanya.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini antaranya Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.


Pengarang :