Penerima vaksin Covid-19 kelihatan ceria selepas menerima suntikan tersebut semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Suntikan vaksin kepada perantau, elak Covid-19 merebak dalam komuniti

SHAH ALAM, 3 OGOS: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis turut memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada golongan perantau dari luar negara.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata inisiatif itu sebagai usaha menghentikan penularan wabak dengan sasaran memberikan vaksin kepada semua penduduk di DUN berkenaan.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni golongan itu termasuk warga asing dan komuniti Rohingya yang tidak boleh dipinggirkan kerana telah tinggal bersama masyarakat setempat.

“Kalau tidak diberi suntikan bimbang pula mereka boleh menjadi punca perebakan Covid-19.

“Namun penerima vaksin harus mempunyai dokumen lengkap seperti pasport serta kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR),” katanya di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata demikian ketika ditemui selepas melawat program Selvax Komuniti peringkat DUN Sungai Kandis.

Menurutnya, jentera di peringkat komuniti digerakkan untuk mengenal pasti mereka yang belum disuntik bagi mencapai sasaran semua penduduk menerima vaksin.

“Di DUN Sungai Kandis selain Selvax Komuniti, banyak pusat pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memudahkan orang ramai. Jadi fokus sekarang untuk mendaftarkan golongan belum divaksin,” katanya.


Pengarang :