Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suntikan Vaksin Selangor diperluas kepada kelompok tertentu

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pemberian suntikan dalam program Vaksin Selangor (Selvax) diperluas kepada kelompok tertentu sebagai sasaran terbaharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan mahasiswa dan kakitangan institusi pengajian tinggi antara golongan bakal penerima pelalian itu.

“Contohnya, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bawa atlet yang belum (vaksin). Baru-baru ini juga ada beberapa universiti mohon. Jadi, kita akan buat dan bantu,” katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Beliau juga menegaskan Kerajaan Negeri tidak bimbang berlaku lebihan bekalan berikutan ratusan ribu orang dari kalangan berusia 17 tahun layak menerima suntikan beberapa bulan lagi.

Amirudin juga mengambil kira kemungkinan suntikan dos ketiga sebagai penggalak (booster) apabila dibenarkan pada masa depan selepas 80 peratus penduduk Selangor selesai divaksin.

“Kita yakin boleh selesaikan (habiskan) jumlah bekalan vaksin yang ditempah. Dengan bekalan yang diterima kita akan selesaikan segera,” kata beliau lagi.

Pada 30 Jun, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk dengan Selvax Industri menyediakan dua juta dos vaksin untuk sejuta pekerja termasuk warga asing manakala Selvax Komuniti membabitkan 250,000 rakyat menerusi 500,000 dos.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :