Sukarelawan memeriksa aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) orang ramai yang hadir menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 1 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Suntikan vaksin tanpa janji temu di PPV Dewan MPKL, Banting hari ini

SHAH ALAM, 2 OGOS: Orang ramai yang belum menerima janji temu dipelawa hadir ke Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru bagi mendapatkan vaksin Covid-19 secara terus hari ini.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib itu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Bagi yang belum mendaftar atau belum menerima tarikh daripada MySejahtera dan ingin mengambil suntikan vaksin, boleh hadir secara terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) ini pada jam 10 pagi.

“Bagi bukan warganegara pula mereka boleh datang ke PPV yang sama pada jam 1 tengah hari,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan dan masa menunggu yang lama.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :