Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Takut jarum, terpaksa pujuk hampir 10 minit suntik vaksin

KUALA SELANGOR, 2 OGOS: Seorang pekerja bengkel motosikal terpaksa dipujuk hampir 10 minit untuk menerima suntikan vaksin kerana takut melihat jarum.

Mohd Idham Mohd Azman

Suasana itu menarik perhatian penerima vaksin lain dalam Program Vaksin Selangor (Selvax) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dewan Bandar Bandar Baru di sini, semalam, apabila Mohd Idham Mohd Azman, 18, perlu ditenangkan serta diberi kata semangat oleh lima sukarelawan.

Malah fobia terhadap jarum dapat dilihat ketika Mohd Idham ditemu bual pemberita dengan kedua-dua tangannya masih menggelatar meskipun selepas hampir setengah jam divaksin.

“Saya memang terlalu takut pada jarum sejak kecil lagi, memang tak boleh tengok jarum, badan akan jadi lemah. Dahulu, kalau saya kena cucuk, arwah ayah ada teman dan suruh baca bismillah,” katanya.

Bagi Pekerja ladang, S Muniandy, 44, dia hadir ke program Selvax menemani isterinya M Logamal, 44, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

S Muniandy

“Isteri tanya kenapa dia belum divaksin sedangkan saya sudah divaksin, jadi saya bawa dia datang hari ini walaupun dia sebenarnya takut pada jarum.

“Segalanya berjalan baik, proses pun cepat tidak sampai setengah jam sudah selesai walaupun saya datang secara terus tanpa membuat pendaftaran,” katanya.

Habsah Kemat

Sementara itu, warga emas Habsah Kemat, 74, menanam impian untuk ke Mekah selepas menerima vaksin kerana belum pernah menjejak kaki ke sana.

“Jika ada peluang teringin nak pergi ke tanah suci, itu impian makcik, semoga semuanya dipermudahkan Allah,” katanya.

Selvax Komuniti memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Sebanyak dua juta dos vaksin pula disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :