Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tambah baik RiDE, Kerajaan Negeri terbuka terima pandangan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri bersikap terbuka menerima pandangan semua pihak bagi menambah baik program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan penambahbaikan program terbabit supaya lebih ramai belia Selangor yang menceburi perkhidmatan e-panggilan mendapat manfaat tersebut.

“Kerajaan Negeri sentiasa ada bersama mereka yang terlibat dalam perkhidmatan ini (e-panggilan), jadi pintu sentiasa terbuka luas kepada mereka sekiranya memerlukan sesi dialog.

“Golongan ini pandai berdikari dan cari jalan untuk tambah pendapatan. Walaupun perlu membuat lebih 24 penghantaran dalam masa sehari namun mereka sangat kental serta bersemangat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, wakil rakyat Paya Jaras berkata belia lingkungan usia 21 hingga 23 tahun antara yang paling ramai menerima inisiatif RiDE setakat ini diikuti (24 hingga 30 tahun) dan (17 hingga 20 tahun).

Tanpa mendedahkan angka terperinci, Mohd Khairuddin memaklumkan Petaling merekodkan jumlah peserta tertinggi diikuti Hulu Langat, Gombak, Klang dan Kuala Langat.

Sebelum ini, beliau berkata promosi program RiDE akan dipergiat di beberapa daerah yang mencatat penyertaan rendah dalam masa terdekat bagi menarik minat lebih ramai belia.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut dengan sasaran 3,000 peserta.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Permohonan yang dibuka dari Januari hingga akhir tahun ini melalui laman sesawang http://msnselangor.gov.my turut memberi kelonggaran kepada penunggang e-panggilan berusia bawah 40 tahun.


Pengarang :