Banjir kilat yang berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Sungai Perigi pada 18 Ogos 2021 berpunca daripada kepala air menyebabkan kerosakan jalan raya dan kediaman penduduk di sekitar Yan Kedah. Foto pembaca media sosial
AGENDANASIONAL

Terjahan air lumpur Gunung Jerai punca banjir, jalan dan rumah rosak

YAN, 18 OGOS: Beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai, di sini dilanda banjir kilat dipercayai akibat kejadian kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata, kejadian yang berlaku sekitar 4 petang itu turut menyebabkan limpahan air deras ke kawasan kediaman, sehingga menyebabkan kerosakan jalan raya dan kediaman.

“Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Negeri Kedah menerima panggilan dari Sistem MERS 999 banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sekitar Gunung Jerai. PGO Kedah menggerakkan anggota dari tiga balai berhampiran ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan pada laporan awal telah berlaku satu kejadian tanah runtuh di Kilometer 8, Gunung Jerai serta dua lagi kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Yan, yang melibatkan beberapa buah perkampungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, banjir turut menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Merbok, Sungai Petani.

Menurutnya, PGO Kedah ketika ini masih menerima beberapa panggilan yang menyatakan masih terdapat individu yang terkandas di kawasan banjir.

Katanya, pasukan penyelamat telah membuat pencarian di kawasan puncak Gunung Jerai dan di beberapa kawasan penempatan penduduk yang terletak berhampiran dengan kawasan itu.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan masih giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir melibatkan beberapa buah kampung di daerah Kuala Muda.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Baru Gurun, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Kunyit Atas, Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu.

APM Kedah menyatakan paras air meningkat sehingga 1.5 meter menyebabkan kediaman dinaiki air dan penduduk terpaksa dipindahkan.

“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dibuka iaitu di Surau Taman Gurun Jaya dan Rumah No.126 Kampung Sungai Badak 3, di mana kedua-dua PPS itu menempatkan 27 mangsa dari tujuh keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, APM Kedah memaklumkan keadaan cuaca ketika ini semakin baik dengan air mulai surut walaupun hujan masih renyai-renyai.

Sementara itu, fenomena kepala air dan banjir ini sempat dirakamkan penduduk yang tular di media sosial yang menyaksikan kemusnahan kepada kediaman, jalan raya dan kenderaan selain menyebabkan pokok tumbang.

– BERNAMA


Pengarang :