Selangorkini
Dua ahli silat Mohd Khairul Kamaruzaman (kiri) dan Izwan Khuzzairie Azhar Ahmad berbaju Melayu lengkap bersampin dan bertanjak umpama pendekar zaman dahulu, menyusuri Jalur Gemilang yang berkibar megah di sepanjang Jambatan Seri Gemilang pada 29 Ogos 2021 bagi menzahirkan rasa cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Terjemah semangat patriotik melalui pakaian ala pendekar

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Ketika menyusuri bendera Malaysia yang berkibar megah di sepanjang Jambatan Seri Gemilang di Putrajaya, dua ahli silat yang berbaju melayu lengkap bersampin dan bertanjak umpama pendekar zaman dahulu, menarik tumpuan mata yang memandang.

Ada yang menyapa dengan laungan “terbaik bang”, ada yang memberi tanda “thumbs up” dan ada yang membunyikan hon kepada Mohd Khairul Kamaruzaman, yang merupakan guru silat dari Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia dan anak muridnya Izwan Khuzzairie Azhar Ahmad.

Bagi Mohd Khairul, 36, dan Izwan Khuzzairie, 23, memperagakan pakaian tradisional umpama persalinan pejuang zaman dahulu itu adalah cara mereka untuk menzahirkan rasa cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Mohd Khairul berkata, apabila mengenakan pakaian tersebut di kawasan tumpuan awam, ia meniupkan semangat patriotisme dalam diri selain menjadi hasratnya untuk mengingatkan orang ramai, tentang bagaimana pejuang terdahulu berpakaian ketika berusaha menetang penjajahan.

“Kita perlu tunjukkan identiti pahlawan-pahlawan dahulu, zaman sekarang ramai yang tidak faham. Sepatutnya masing-masing buang rasa malu dan segan… apa salahnya sempena Hari Kebangsaan ini kita memakai pakaian tradisional lengkap,” katanya kepada Bernama.

Selain Jambatan Seri Gemilang, Mohd Khairul dan Izwan Khuzzairie turut menyusuri kawasan umum dengan berpakaian baju melayu lengkap bertanjak dan bersampin itu, di kawasan Tasik Putrajaya dan taman permainan di Presint 18 di sini.

“Bila saya pakai, ramai yang tegur dan majoriti orang yang lihat menyokong apa yang saya dan anak murid lakukan… ada yang membunyikan hon dan memberi salam,” kata Mohd Khairul.

Bapa kepada tiga orang anak yang berasal dari Kelantan itu berkata, rakyat Malaysia perlu sentiasa mengingati pengorbanan pejuang terdahulu, kerana tanpa mereka keamanan yang dikecapi ketika ini tidak akan dapat dinikmati.

“Meskipun negara dilanda pandemik Covid-19, kita masih boleh menyambut sambutan Hari Kemerdekaan dengan pelbagai cara, dan apa yang penting adalah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, Izwan Khuzzairie berkata golongan muda seharusnya menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaaan ke-64.

“Muat naik gambar dengan Jalur Gemilang dan letakkan tanda pagar atau ‘hashtag’ tertentu yang membolehkan orang luar tahu, yang kita berada dalam bulan kemerdekaan. Kita patut bangga yang negara telah merdeka dan hidup aman damai, meskipun berbilang kaum,” kata pelajar tahun tiga Universiti Teknikal Malaysia itu.

Beliau berkata meskipun kemeriahan sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini berbeza disebabkan pandemik Covid-19, namun ia bukan penghalang untuk rakyat Malaysia bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

-BERNAMA


Pengarang :