Warga Pakistan, Ejaz Hussain Ismai, 55, menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang 1 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tiada kenderaan, warga emas berkerusi roda redah hujan dapatkan vaksin Selangor

AMPANG, 2 OGOS: Kerana tidak memiliki kenderaan, warga emas berkerusi roda bersama isterinya meredah perjalanan kira-kira dua kilometer dalam hujan renyai untuk menerima suntikan percuma program Vaksin Selangor (Selvax).

Menghidap penyakit gout dan kencing manis, Ejaz Hussain Muhammad Ismail, 55, yang hadir bersama Shania Agus, 67, bergerak dari Taman Putra di sini ke Dewan MPAJ Pandan Indah pada jam 10 pagi semalam dan tiba dua jam kemudian.

Shania Agus, 67

Pasangan tersebut menyertai program itu atas kudrat mereka kerana enggan menyusahkan anak yang menetap sekitar Lembah Klang.

“Anak semua tahu kami mahu pergi ambil vaksin hari ini tetapi kami pilih untuk pergi sendiri kerana tidak mahu susahkan mereka yang mungkin ada kerja lain. Lagi pula ini hari Ahad, tidak mahu ganggu,” kata Shania.

Jelasnya, hujan mula melanda ketika mereka dalam perjalanan tetapi tidak lebat. Mereka berhenti seketika di perhentian bas berbumbung sebelum menuju ke pusat pemberian vaksin.

“Sesekali berhenti juga untuk berehat. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan dan vaksin pun selesai untuk dos pertama, terima kasih Kerajaan Selangor,” katanya lagi.

Selvax diiktiraf sebagai sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi melonjak kadar suntikan di negeri ini yang berpenduduk padat.

Sebanyak 500,000 dos disediakan untuk manfaat 250,000 penduduk warga emas, orang kelainan upaya dan golongan berpendapatan rendah dalam program Selvax Komuniti.

Sementara bagi pekerja swasta, Selvax Industri memudahkan majikan membeli dos suntikan tersebut secara percuma kepada kakitangan.

 


Pengarang :