Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama para atlet semasa hadir pada Majlis Pelepasan Kontinjen Paralimpik yang akan ke Temasya Sukan Paralimpik 2020 Tokyo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Tiga wira Rio 2016 ketuai kumpulan ketiga berlepas ke Paralimpik Tokyo

SEPANG, 21 OGOS: Giliran tiga pemenang pingat emas Rio 2016 Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mengetuai kumpulan ketiga kontinjen Malaysia berlepas ke Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun, malam ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada 28 ahli kontinjen negara ke Tokyo hari ini melibatkan 11 atlet dan 11 jurulatih selain Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Muhd Iqbal Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli serta empat pegawainya.

Kumpulan terbesar kontinjen negara itu bertolak pada jam 10.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menerusi pesawat Japan Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo pada jam 7.05 pagi waktu tempatan esok (6.05 pagi waktu Malaysia).

Barisan atlet lain yang berlepas pada hari ini ialah Wong Kar Gee, Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin (olahraga para); S Suresh, Wiro Julin (memanah); Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie (powerlifting); Chew Wei Lun (boccia) dan Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda).

Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib dan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mohd Zuki dalam ucapannya mahu atlet luar biasa berkenaan untuk membuktikan pencapaian Rio 2016 bukanlah nasib semata-mata tetapi meneruskan kejayaan itu di Tokyo bagi membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau juga berharap agar kontinjen negara dapat membawa semangat skuad Olimpik Tokyo yang menyaksikan jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang merangkul perak dalam acara keirin dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki baru-baru ini.

Khamis lalu, kumpulan pertama terdiri daripada dua pegawai dan lima atlet berbasikal berlepas manakala kumpulan kedua melibatkan 15 individu diketuai Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bersama skuad renang, ping pong, Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah serta staf ISN berlepas pada sebelah malam.

Tiga orang dari skuad badminton yang merupakan kumpulan keempat dan terakhir dijangka bertolak pada Selasa.

Malaysia akan diwakili 22 atlet para dalam sembilan jenis sukan pada Paralimpik kali ini, selepas berjaya meraih tiga pingat emas dan sebutir gangsa, kesemuanya menerusi olahraga pada edisi lepas di Rio 2016, yang juga merupakan pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di temasya itu sejak 1972.

Bagi edisi kali ini, kontinjen negara diletakkan sasaran untuk membawa pulang tiga pingat emas.

– BERNAMA


Pengarang :