Pemilik NOMORI Taylor, Nor Mohd Ridwan Ismail menyiapkan tempahan pelanggan yang tertangguh berikutan arahan penutupan operasi akibat sekatan pandemik Covid-19 di Taman Melawati, Gombak pada 18 Ogos 2021. FOTO AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Tukang jahit lega kedai kembali beroperasi selepas rugi RM40,000

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pembukaan semula beberapa sektor ekonomi memberi kelegaan kepada banyak pihak termasuk pasangan tukang jahit yang terjejas perniagaan mereka hampir dua tahun.

Nor Mohd Ridwan Ismail, 46, yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya Siti Zahara Abdul, 45, akui mengalami kerugian hampir RM40,000 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Nor Mohd Ridwan hampir empat bulan kedainya Nomori Tailor di Taman Melawati Gombak ditutup sehingga beliau terpaksa berusaha mencari inisiatif lain dengan menjual barangan aksesori kereta secara dalam talian.

“Ada juga kami terima permintaan pelanggan yang mahu menempah pakaian sepanjang kedai tidak beroperasi, cuma adakalanya terpaksa menolak atas faktor sukar mendapat bekalan kerana banyak kedai tutup.

“Kami juga buat tempahan pakaian secara dalam talian tetapi ia tidak sama dengan pelanggan datang ke kedai yang mana kami boleh ambil ukuran mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Nor Mohd Ridwan yang mengusahakan perniagaan jahitan pakaian lelaki dan wanita sejak 1998 turut mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan hebat buat peniaga sepertinya sehingga terpaksa memberhentikan dua pekerja.

“Covid-19 dan PKP amat memberi kesan. Saya terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu untuk menggajikan mereka. Lagi memeritkan apabila sewa kedai tetap perlu dibayar walaupun tidak beroperasi,” katanya.

Mengulas berhubung tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi, Nor Mohd Ridwan berkata beliau bersedia mematuhi dan berharap kerajaan tidak lagi mengumumkan penutupan sektor ekonomi.

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 16 Ogos.


Pengarang :