Petugas kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 kepada pelajar antarabangsa dalam program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 18 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

UIAM pusat pengajian pertama sertai program vaksin negeri

GOMBAK, 18 OGOS: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi meningkatkan kadar suntikan vaksin dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 berkata inisiatif Vaksin Selangor (Selvax) yang pertama kali membabitkan pusat pengajian tinggi menyasarkan 2,500 peserta sehari.

“Universiti ini agak unik kerana mempunyai populasi antarabangsa sangat besar. Ada yang datang dari Somalia, Afghanistan, Iraq, Thailand dan Singapura.

“Inisiatif Kerajaan Negeri bersama pengurusan UIAM ini dapat membantu mana-mana pelajar dan kakitangan yang belum menerima vaksin mendapat suntikan segera,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika ditemui di sini hari ini.

Pusat pemberian vaksin yang disediakan universiti terbabit beroperasi selama dua hari mulai semalam dari jam 9 pagi hingga 5 petang khusus untuk suntikan dos pertama.

Sementara itu, Dr Mohammad Farhan bercadang untuk memberi dos kedua dalam tempoh sehari dengan memaksimumkan kapasiti petugas kesihatan dan sukarelawan.

“Insya-Allah, dos kedua diberi tiga minggu dari sekarang. Jika peserta boleh digabungkan, kita akan suntik dos kedua pada hari yang sama,” katanya.

Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program yang bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri serta diiktiraf kerajaan persekutan.


Pengarang :