AGENDANASIONAL

Umno tarik balik sokongan, Zahid dakwa PN hilang majoriti

SHAH ALAM, 3 OGOS: Susulan isu antara kerajaan pusat dengan Istana Negara, Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden parti itu Datuk Seri Zahid Hamid juga menyebut nama-nama ahli parlimen yang menarik sokongan telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, maka Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin selaku perdana menteri,” katanya.

“Surat akuan ahli-ahli parlimen Umno yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.”

Zahid tidak menyebut senarai wakil rakyat Umno dalam kenyataannya tetapi sebahagian daripada mereka turut hadir ketika beliau mengumumkan keputusan parti itu secara langsung di Facebook.

Sepuluh ahli parlimen yang berdiri di belakang Zahid tadi, antaranya, Datuk Najib Razak, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Azalina Said Othman, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam kenyataannya, Zahid turut menggesa Muhyiddin bertanggungjawab atas “keingkaran kerajaan” beliau menurut titah Yang di-Pertuan Agong agar Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Parlimen baru-baru ini.

Pada 29 Julai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan Baginda menzahirkan rasa “amat dukacita” apabila ordinan tersebut telah dibatalkan oleh kabinet tanpa mendapat perkenan Baginda.

Sementara ahli parlimen parti berkenaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli hari ini sebagai tanda sokongan terhadap keputusan Umno.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti, maka sebagai ahli Umno yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan,” kata wakil rakyat Lenggong.


Pengarang :