Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
ADNEXCOSELANGOR

Unit ekonomi khas bantu belia B40 tambah pendapatan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Unit Ekonomi Belia (UEB) diwujudkan bagi membantu golongan muda khususnya berpendapatan rendah (B40) menambah pendapatan terutama ketika pandemik Covid-19.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata unit tersebut menjadi platform untuk mendekati belia menceburi perniagaan atau pertanian melalui skim ditawarkan negeri.

“Satu platform digital khas diwujudkan bagi memudahkan belia memohon skim-skim ditawar Kerajaan Negeri dan peluang perniagaan sebagai perancangan jangka masa panjang.

“Bagi jangka masa pendek kita sarankan mereka memohon bakul makanan menerusi Pakej Kita Selangor bernilai RM3.28 juta yang diperuntuk khusus untuk yang kekurangan pendapatan,” katanya menambah unit itu diselia oleh Penggerak Belia Selangor.

Beliau menjawab pertanyaan lisan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki berhubung bantuan kepada anak muda yang terjejas pendapatan sewaktu pandemik Covid-19 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata kerajaan Negeri akan terus memperkasa program sukarelawan bagi membantu golongan belia yang terjejas pendapatan.

“Oleh sebab itu kita mewujudkan platform sukarelawan untuk individu berusia 36 tahun ke atas yang dinamakan Sukarelawan Selangor atau SERVE untuk memberi peluang belia menjadi sukarelawan dan mendapat sedikit elaun.

“Untuk permulaan, belia di bawah SERVE ini akan hadir ke Yan, Kedah untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan kini sedang dalam proses pengurusan,” katanya.


Pengarang :