Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam ketika mengadakan lawatan kerja pada 3 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR RADIN ROSLAN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usaha keras tangani Covid-19 penyumbang kes turun empat hari berturut

SHAH ALAM, 3 OGOS: Usaha keras dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 termasuk program Vaksin Selangor (Selvax) membantu mengurangkan kes harian di Selangor selama empat hari berturut-turut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha melawan wabak giat dijalankan antaranya meningkatkan kadar pemberian vaksin yang menyumbang penurunan angka itu.

“Seperti disebut Pengerusi Pasukan Petugas Khas Lembah Klang, Datuk Dr Chong Chee Kheong, kita mungkin dapat melihat angka itu (menurun) lebih ketara pada akhir Ogos dan awal September.

“Selepas itu baru Selangor boleh masuk ke fasa seterusnya (Pelan Pemulihan Negara),” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), jangkitan harian di Selangor hari ini direkodkan sebanyak 5,836, turun berbanding 6,067 kes semalam, 6,326 (Ahad) dan 6,400 (Sabtu).

Amirudin turut mengingatkan masyarakat sentiasa mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka walaupun kes harian turun dan semakin ramai lengkap menerima dua dos vaksin.

Tegasnya, peningkatan sebanyak 60,000 kes di England selepas kejohanan bola sepak Euro 2020 disebabkan penyebaran varian Delta harus diambil iktibar.

Katanya, Kerajaan Negeri juga membuat persediaan dengan menambah bekalan vaksin bagi menampung keperluan yang meningkat apabila lebih ramai remaja mencapai usia 18 tahun.


Pengarang :