Selangorkini
Seorang jururawat menyiapkan dos vaksin Moderna di pusat vaksinasi di Dresden Fair, Jerman pada 29 Julai 2021. Foto REUTERS
AGENDA NASIONAL

Vaksin Moderna diluluskan kegunaan ketika bencana

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-362 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection Covid-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified), juga dikenali sebagai vaksin Moderna.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan produk itu bagi pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan serta keberkesanan produk vaksin dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan produk berkenaan dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD.

-BERNAMA


Pengarang :