Exco Sukan Mohd Khairuddin Othman melihat atlet badminton Mohammad Hafiezee Khairul Azwa menerima suntikan pelalian dalam program Vaksin Selangor (Selvax) untuk atlet dan pengusaha industri sukan di Hotel De Palma Shah Alam pada 10 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin Selangor: 1,000 dos fasa satu untuk atlet dan pengusaha sukan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sebanyak 1,000 dos vaksin disediakan kepada atlet dan pengusaha industri sukan di negeri ini melalui program Vaksin Selangor (Selvax).

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata pemberian vaksin kepada golongan itu adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penggiat sukan.

“Ini merupakan usaha kita untuk memudahkan atlet dan pengusaha industri menerima suntikan pelalian tanpa perlu mendaftar untuk mendapatkan janji temu.

“Untuk fasa pertama kita menyediakan kuota 1,000 dos dan diadakan di lima pusat pemberian vaksin (PPV). Kita akan bergerak ke fasa seterusnya sejurus kuota pertama ini habis,” katanya dalam program Vaksin Selangor (Selvax) untuk atlet dan pengusaha industri sukan di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan  Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk mengesan atlet yang masih belum menerima vaksin.

Pada 30 Jun, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 


Pengarang :