Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin Selangor bantu kurangkan beban sistem kesihatan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Usaha Kerajaan Negeri menangani Covid-19 termasuk melaksanakan program Vaksin Selangor (Selvax) membantu mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara.

Dato’ Menteri Besar berkata program tersebut yang menyediakan 2.5 juta dos suntikan membantu meningkatkan pemberian vaksin yang setakat ini meliputi 98 peratus golongan dewasa menerima dos pertama manakala 57 peratus dos kedua.

Menurutnya, pemberian pelalian mengurangkan beban kepada sistem kesihatan apabila kemasukan pesakit ke hospital menurun selain kematian yang sebelum ini menyebabkan kesesakan jenazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Alhamdulillah saya nampak ada angka dan tanda-tanda baik, kalau semua berjalan lancar, September ini kita boleh masuk fasa kedua,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada program bual bicara Tiga Talk malam tadi.

Program disiarkan secara langsung menerusi Facebook sikendalikan tiga penyampai terkenal, Halim Othman, Linda Onn dan Kudsia Kahar.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian dalam kalangan rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.

Program itu merupakan pelengkap kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).


Pengarang :