Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyerahkan vaksin kepada Chow Kon Yeow dalam program Penyerahan Vaksin Selangor kepada kerajaan Pulau Pinang di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Seberang Perai (SP Arena) pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin Selangor bantu Pulau Pinang percepat imuniti kelompok

SEBERANG PERAI, 31 OGOS: Sumbangan bekalan vaksin oleh Kerajaan Selangor kepada Pulau Pinang diharap membantu mempercepat imuniti kelompok rakyat negara ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Dato’ Menteri Besar dan ketua menteri Pulau Pinang berkata usaha itu tanda solidariti dua negeri dalam memerangi wabak Covid-19.

“Meminjam semangat Hari Kebangsaan, Kerajaan Selangor amat berbesar hati menyumbangkan 20,000 dos vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang secara percuma.

“Ini merupakan tanda solidariti antara warga Selangor dengan warga Pulau Pinang dalam perang melawan Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dan Chow Kon Yeow.

Kenyataan itu dibacakan Kon Yeow ketika penyerahan vaksin Selangor kepada Pulau Pinang di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Pusat Konvensyen Seberang Perai di sini.

Dalam kenyataan sama, ketua menteri Pulau Pinang berkata sejumlah 1.14 juta atau 64.4 peratus penduduk negeri itu menerima satu dos vaksin setakat semalam.

Sementara sebanyak 55.7 peratus daripada populasi dewasa Pulau Pinang lengkap dos vaksin.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas inisiatif semua pihak dalam menjayakan usaha murni yang bakal mengeratkan hubungan antara dua negeri ini.

“Semoga usaha ini membantu mempercepat kekebalan kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini antaranya Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.


Pengarang :