Selangorkini
Dr Gunaraj George (kanan) meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sentosa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) De Palma Hotel, Shah Alam pada 4 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat cadang suntikan ke rumah untuk warga emas, individu terlantar

SHAH ALAM, 4 OGOS: Wakil rakyat Sentosa akan melaksanakan program suntikan dari rumah ke rumah bagi membantu golongan tertentu yang berdepan masalah ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Dr Gunaraj George berkata inisiatif dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah daerah Klang menyasar warga emas, orang kelainan upaya dan individu yang terlantar.

“Perkara ini sedang dalam perbincangan dan tarikh pelaksanaan akan diputuskan dalam masa terdekat. Mungkin pada 10 dan 11 Ogos mengikut keupayaan pasukan berkenaan kerana keanggotaan agak terhad.

“Mereka akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan memberi vaksin kepada golongan sasar yang diperuntuk bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini hari ini.

Seramai 300 penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dijangka menerima dos pertama vaksin bawah program tersebut termasuk tanpa janji temu.

Sementara itu, Gunaraj berkata persatuan penduduk digerakkan bagi menguar-uarkan program Selvax Komuniti untuk memastikan lebih ramai individu menerima manfaat.

“Hasrat kita untuk memastikan seluruh penduduk divaksin sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok. Kita bimbang kes harian Covid-19 semakin meningkat termasuk angka kematian,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :