Selangorkini
Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir perarakan dari Dataran Merdeka ke bangunan Parlimen pagi ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat pembangkang dihalang masuki bangunan Parlimen

SHAH ALAM, 2 OGOS: Wakil-wakil rakyat dari semua parti pembangkang berarak ke bangunan Parlimen tetapi mereka dihalang daripada memasukinya.

Perarakan dari Dataran Merdeka diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 9.50 pagi sebagai bantahan terhadap penangguhan sidang Dewan Rakyat yang asalnya dijadual berlangsung hari ini.

Pelbagai kain rentang yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dibawa sepanjang perarakan.

Sidang Dewan Rakyat dijadual membahaskan isu Ordinan Darurat seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong tetapi ditangguh atas alasan penularan Covid-19.

Dalam ucapannya, Anwar menyifatkan speaker Dewan Rakyat gagal menunaikan tanggungjawab apabila cuba melindungi Muhyiddin yang didakwa hilang keabsahan sebagai perdana menteri.

Selain Anwar, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut memberi ucapan di dataran berkenaan.

Sepasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat membuat benteng di hadapan jalan bagi menghalang ahli parlimen menuju ke Parlimen.

Anwar mendakwa seramai 107 ahli parlimen menyertai perarakan berkenaan sebelum bersurai menjelang jam 11 pagi.

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran kemudian membuat laporan polis di balai Dang Wangi berhubung sekatan itu.

 


Pengarang :