ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar mengagihkan barangan keperluan asas makanan kepada penghantar makanan semasa program serahan bakul makanan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, Petaling Jaya pada 6 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Seri Setia sumbang 100 pek makanan asas

PETALING JAYA, 6 OGOS: Sebanyak 100 pek makanan asas disumbangkan kepada individu memerlukan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini.

Wakil rakyatnya berkata penerima terdiri daripada penghantar makanan, pemandu van sekolah dan teksi yang terjejas pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Halimey Abu Bakar menjelaskan bantuan berupa beras, telur, bihun, tepung gandum dan sardin disalurkan melalui peruntukan pusat khidmat serta syarikat swasta.

“Senarai nama penerima dikumpul penggerak belia tempatan (PeBT) Seri Setia, wakil persatuan teksi dan bas sekolah bagi memudahkan proses pemberian bantuan ini.

“Walaupun tidak banyak namun kita percaya sumbangan ini sangat bermakna untuk mereka yang terkesan. Saya juga berterima kasih atas kerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya selepas mengedarkan bantuan secara pandu lalu di perkarangan pusat khidmatnya di sini.

Sementara itu, pemandu teksi, Anuar Yaakob, 69, memuji keprihatinan wakil rakyat terbabit yang sudi menghulurkan sumbangan selain memahami situasi getir dihadapi individu sepertinya ketika ini.

Anuar Yaakob, 58, pemandu teksi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bapa empat anak yang memulakan pekerjaan itu dua tahun lalu memaklumkan pendapatan merosot 80 peratus ekoran pandemik sehingga terpaksa menangguhkan bayaran sewa teksi selama tiga bulan.

“Kesan Covid-19 tahun ini lebih teruk berbanding tahun lepas dan sememangnya memberi masalah cukup besar kepada pemandu teksi. Kami tidak tahu apa akan berlaku jika keadaan berterusan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dapat bantuan bakul makanan. Sekurang-kurangnya tidak perlu mengeluarkan wang untuk berbelanja,” katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai pemandu peribadi orang kenamaan (VIP).

Bagi penghantar makanan, Muhammad Azirol Ashraf Mohammad Noor,26, berkata sumbangan tersebut amat dinantikan kerana pendapatan diperoleh ketika ini sekadar cukup makan, tidak seperti kebiasaan sewaktu bekerja sepenuh masa sebagai juruteknik di sebuah syarikat penapis air.

Muhammad Azirol Ashraf Mohammad Noor, 26, penghantar makanan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebenarnya saya buat kerja ini sejak PKP tahun lepas untuk mencari pendapatan sampingan selepas kerjaya tetap tidak dapat diteruskan kerana bukan dalam sektor perlu.

“Alhamdulillah gaji harian cukup untuk tampung keperluan keluarga walaupun tidak mewah. Apa yang penting rutin ini perlu diteruskan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang tinggal di Kampung Lindungan.


Pengarang :