A.Deraveda ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Tanjung Sepat di Dewan MPKL Banting Baru pada 6 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita warga emas lawan takut suntik vaksin demi kekang penularan wabak

BANTING, 7 OGOS: Seorang wanita warga emas menghidap penyakit kencing manis dan jantung nekad melawan perasaan takut menerima suntikan vaksin Covid-19 demi mengekang penularan wabak.

Malah, A.Deraveda, 63 ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Tanjung Sepat juga menyarankan orang ramai supaya daftar mengambil vaksin bagi mencapai imuniti kelompok segera.

“Pada awalnya saya takut tetapi perasaan itu hilang apabila anak-anak menyakinkan berkenaan suntikan vaksin untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kini saya lebih yakin apabila menerima vaksin dan menyarankan orang ramai supaya segera berdaftar supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Dewan MPKL Banting Baru.

Deraveda sebelum ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung dan kaki kanan dipotong hingga paras lutut akibat kencing manis.

Sementara itu, seorang pekerja kilang Muhammad Syazwan Abdullah,24, berkata beliau pernah membatalkan janji temu MySejahtera pada Julai lalu kerana lokasi yang diterima di Sekinchan jauh daripada rumahnya di Batu Laut.

“Apabila mengetahui terdapat pemberian vaksin secara terus, saya terus hadir hari ini (semalam) untuk mendapatkan suntikan.

“Saya mahu segera mendapatkan suntikan kerana di rumah terdapat nenek yang merupakan individu berisiko tinggi terdedah dengan jangkitan Covid-19,” katanya.

Pekerja buruh binaan Ahmad Salim Yaski,23, pula berharap orang ramai terutama bukan warganegara segera mendapatkan suntikan vaksin.

“Ibu bapa sering bertanyakan keadaan kerana khuatir tidak bekerja di Malaysia dan berharap dapat bekerja semula untuk mencari rezeki,” katanya berasal dari Madura, Indonesia.


Pengarang :