ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee meninjau proses suntikan pelalian program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19, Shah Alam pada 5 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga emas 90 tahun teruja terima Selvax serentak bersama dua anak

SHAH ALAM, 6 OGOS: Keinginan seorang warga emas mendapat suntikan vaksin bersama dua anaknya tertunai menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Tui Ah Lan, 90, juga merupakan penerima tertua pertama suntikan pelalian Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini semalam.

Tui Ah Lan

Nenek kepada tujuh cucu itu berkata kehadiran dua anak bersamanya sewaktu proses suntikan memberi kekuatan dan menambah keyakinan kepadanya untuk divaksin.

“Mengambil vaksin adalah tanggungjawab semua dalam memutuskan penularan wabak Covid-19 demi keselamatan semua,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala pemandu lori, B Suresganth, 40, berkata beliau datang ke PPV bersama isteri dan adiknya setelah menunggu sejak Mei lalu.

B Suresganth bersama keluarganya

“Saya telah mendaftar di MySejahtera tetapi hingga kini masih belum menerima tarikh janji temu. Apabila dimaklumkan tentang vaksin secara terus saya terus memberi nama kepada wakil rakyat.

“Kerja saya juga antara yang berhadapan dengan risiko dan pemberian vaksin ini dapat membantu daripada berjangkit Covid-19,” katanya.

Peniaga, Nur Aimi Farhan, 32, pula berkata beliau mendapat janji temu menerusi MySejahtera pada 28 Julai lalu tetapi terpaksa menolaknya kerana tiada orang yang menjaga dua anaknya yang masih kecil selain mempunyai penyakit asma.

Nur Aimi Farhan

“Suami bekerja sebagai anggota polis dan tidak dapat bercuti kerana perlu bertugas. Namun, jiran memaklumkan supaya saya berdaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Saya mendaftar di SELangkah kelmarin dan hanya menyedari janji temu lewat setengah jam daripada waktu asal jam 10 pagi. Alhamdulillah proses vaksin dipermudahkan walaupun saya tiba lewat,” katanya.


Pengarang :