Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas Datuk Dr Wan Mansor Hamzah (tengah) bersama warga emas mengibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos depan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di PAWE Pasir Mas hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Warga emas tetap semangat kibarkan Jalur Gemilang

PASIR MAS, 22 OGOS: Meskipun dalam suasana pandemik Covid-19 namun ia tidak mematahkan semangat sekumpulan 15 warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas, di sini untuk terus menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64.

Pengerusi PAWE Pasir Mas Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata pihaknya mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang di sekitar PAWE Pasir Mas bagi membangkitkan semangat kecintaan kepada negara.

“Kita lihat ramai dalam kalangan anak muda, remaja yang bersemangat untuk menyemarakkan hari merdeka. Jadi kita sebagai warga emas juga tidak mahu ketinggalan memainkan peranan untuk sama-sama meraikan bulan yang bersejarah ini.

“Malah, dengan adanya inisiatif ini sekurang-kurangnya ia dapat memberi teladan kepada orang ramai betapa pentingnya untuk kita memperingati sejarah kemerdekaan sekali gus sebagai menghargai keamanan yang telah dikecapi negara sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di PAWE Pasir Mas, di sini hari ini.

Dr Wan Mansor berkata, beliau mengakui sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini agak suram di sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan selain negara juga sedang dilanda pandemik Covid-19, namun baginya ia tidak sepatutnya menjadi penghalang.

“Sambutan tahun ini agak suram, jadi kita sebagai warga emas berasa tanggungjawab untuk terus menaikkan semangat ini. Kita mungkin sudah tidak berupaya untuk bergerak ke hadapan, namun sekurang-kurangnya dengan memasang Jalur Gemilang ini ia dapat menonjolkan semangat patriotisme yang ada.

“Saya juga yakin sekiranya setiap rumah memasang satu bendera, suasana akan lebih meriah dan ia membuktikan kita sama-sama bangga menjadi warga negara Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Mansor berkata bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pihaknya juga akan melaksanakan program deklamasi sajak bersempena kemerdekaan secara Google Meet pada malam 31 Ogos nanti.

“Kita akan kumpulkan semua ahli PAWE Pasir Mas iaitu kira-kira 150 orang untuk bersama-sama meraikan malam kemerdekaan nanti secara dalam talian. Diharap melalui beberapa aktiviti yang dirangka ini, ia dapat menyuntik semangat serta memupuk rasa cinta terhadap negara walaupun dalam kehidupan norma baharu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :