Orang kurang upaya (OKU) mencuba laluan baru yang dibina Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yawas: 395 OKU terima bantuan RM500 setakat ini

SHAH ALAM, 26 OGOS: Seramai 395 orang kelainan upaya (OKU) menerima insentif RM500 untuk golongan itu di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 setakat semalam.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata kelulusan membabitkan peruntukan RM197,500 daripada RM600,000 disediakan bagi bantuan itu.

“Kumpulan pertama menerima bantuan pada Julai lalu, wang dimasukkan segera ke akaun kerana kita sedar bantuan itu amat diperlukan ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pei Nei berkata Yawas sedang memproses permohonan untuk memenuhi sasaran 1,200 OKU menerima bantuan sekali bayar itu dan pada masa sama menganalisa maklumat pemohon.

“Analisa akan diberikan kepada EXCO, Dr Siti Mariah Mahmud untuk diputuskan sama ada wujud keperluan menambah peruntukan bagi membantu lebih ramai OKU,” katanya.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pengarang :