ADN Batu Tiga Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas meninjau Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Yayasan Hijrah tanggung RM81 juta beri moratorium

SHAH ALAM, 27 OGOS : Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang melaksanakan dua kali moratorium perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM81 juta.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata moratorium dibuat bagi tempoh tiga bulan antara 23 Mac sehingga 14 Jun 2020 diikuti satu setengah bulan antara 15 Jun hingga 31 Julai 2021.

“Melalui kedua-dua tempoh moratorium ini, peminjam mendapat manfaat atau impak positif hasil inisiatif dilaksanakan Hijrah Selangor.

“Moratorium bertujuan meringankan beban peminjam ketika Perintah Kawalan Pergerakan disamping boleh menyusun semula kewangan bagi membayar balik selepas tamat tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rodziah menjelaskan berdasarkan rekod, sebanyak 44.48 peratus jumlah peminjam Hijrah terus membuat pembayaran meskipun moratorium diberi secara automatik.

“Sekiranya moratorium perlu dilaksanakan lagi kita akan membuat secara bersasar iaitu fokus terhadap golongan tertentu sahaja.

“Kita dapat lihat hampir 50 peratus peminjam Hijrah terus membuat pembayaran walaupun moratorium dilaksanakan. Justeru, jika perlu dibuat lagi kita akan fokus kepada golongan sasar,” katanya.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir bulan lalu.


Pengarang :