Pekerja Mohd Adam Abd Nasir menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar ibu kota pada 25 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

10 individu palsukan sijil vaksin dihadap ke mahkamah setakat ini

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Sebanyak 10 individu telah didakwa di mahkamah kerana memalsukan sijil suntikan vaksin, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata ia melibatkan empat individu di Sarawak, masing-masing dua individu di Sabah dan Melaka serta masing-masing satu individu di Kelantan dan Perak.

“Seorang telah disabitkan kesalahan iaitu di Sarawak di mana mahkamah telah memberi sabitan dan dihukum penjara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai jumlah mereka yang diambil tindakan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin di negara ini.

Ismail berkata bagi golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berhubung kesalahan memberi maklumat palsu, Ismail berkata siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu di bawah Akta 342 atau Kanun Keseksaan.

Beliau berkata di bawah Seksyen 24 Akta 342, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala di bawah Seksyen 25 Akta 342, sebelum pertuduhan dimulakan dengan izin pendakwa raya, kompaun boleh diberikan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta ini untuk individu tidak melebihi RM10,000 manakala perbadanan tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam memastikan sebarang pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), diambil tindakan tegas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail berkata KDN mengambil pendekatan mengimbangi aspek kesihatan serta keselamatan dan kedaulatan negara dalam isu vaksinasi pendatang tanpa izin.

Beliau menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai sama ada kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada pendatang izin untuk mendapat vaksinasi berbanding menahan mereka bagi dihantar pulang ke negara asal.

“KDN telah berhubung dengan negara-negara sumber untuk membuat program penghantaran pulang dan mereka boleh buat proses kembali ke negara ini, kita tidak mengambil tindakan yang begitu kejam (terhadap pendatang tanpa izin),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :