Sayangi Kinrara Covid-19 Care Pack merupakan inisiatif wakil rakyatnya Ng Sze Han buat penduduk yang dijangkiti Covid-19. Foto Facebook Ng Sze Han
ADNSELANGOR

1,000 kit ujian kendiri percuma buat penduduk DUN Kinrara

SHAH ALAM, 9 SEPT: Sebanyak 1,000 kit ujian kendiri secara percuma disediakan untuk pesakit Covid-19 sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Wakil rakyatnya berkata kit sumbangan Kerajaan Selangor turut diagihkan kepada keluarga pesakit bagi memantau tahap kesihatan sepanjang menjalani kuarantin di rumah

“Sayangi Kinrara Covid-19 Care Pack ini mengandungi kit ujian air liur, penyedut oksigen, Paracetamal, vitamin C 500mg, kit sanitasi, pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

“Ini merupakan inisiatif melawan virus Covid-19 selepas kita memfokuskan program vaksinasi penduduk,” kata Ng Sze Han di Facebook.

Beliau berkata individu yang memerlukan kit tersebut boleh menghubungi pusat khidmat di talian 03-80821661 atau 01125816296.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma akan diagihkan kepada keluarga mangsa dijangkiti virus itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kit tersebut akan diserahkan melalui 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.


Pengarang :