Dato’ Seri Rahim Ahmad (tengah) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan) bersama wakil-wakil persatuan penduduk selepas penyerahan bakul makanan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 17 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

10,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Sungai Air Tawar

SABAK BERNAM, 18 SEPT: Sebanyak 10,000 bakul makanan diagih kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar yang terkesan akibat Covid-19.

Penyelarasnya Dato’ Seri Rahim Ahmad berkata bantuan tersebut diberikan kepada pelbagai golongan tanpa mengira fahaman politik sejak negara dilanda wabak berkenaan.

“Peruntukan sedia ada memang tidak mencukupi namun kita berterima kasih kepada pihak yang membantu antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan beberapa EXCO.

“Setakat ini 90 peratus penduduk terkesan menerima agihan bakul makanan,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam di sini semalam.

Terdahulu MBI mengagih 250 bakul makanan kepada penduduk dan turut menyumbang RM10,000 untuk baik pulih sebuah surau di DUN Sungai Air Tawar.

Sementara itu Koordinator Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) DUN Sungai Air Tawar Julia Buang berkata pihaknya mengagih 29 beg berisi dua kotak kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur kepada sidang kampung di kawasan tersebut.

“Ini adalah sebahagian usaha untuk mengekang penularan Covid-19. Mereka tidak perlu lagi bergerak ke mana-mana lokasi untuk melakukan saringan.

“Selain diberi kepada sidang kampung kita juga akan agih kit saringan kepada penduduk yang dikurantin atau memerlukan menerusi program agihan bakul makanan,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 setiap DUN bagi menjayakan Program Bakul Makanan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.


Pengarang :