Timbalan Yang Dipertua MPK Elya Marini Darmin (baju biru) menyantuni salah seorang gelandangan yang menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang pada 19 September 2021. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

138 gelandangan Pelabuhan Klang dapat suntikan vaksin

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 138 gelandangan sekitar Pelabuhan Klang menerima suntikan vaksin jenis CanSino melalui program Vaksinasi Komuniti Gelandangan semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata suntikan di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada menerima pelalian.

“Ini merupakan inisiatif majlis dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima pelalian selain langkah mencapai imuniti kelompok serta menjadikan Klang bebas Covid-19.

“Mulanya kita hanya sasar 70 individu sahaja namun sambutan daripada golongan ini menggalakkan dengan 138 orang dapat disuntik,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam kenyataan.

Beliau berkata kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Pertubuhan Komuniti Sahabat Harmoni menjadikan MPK antara pihak berkuasa tempatan terawal melaksanakan inisiatif itu.

Ahmad Fadzli berkata kerjasama pelbagai agensi dan jabatan dibuat berikutan beberapa masalah membabitkan status kesihatan gelandangan dan dokumen pengenalan diri.

“Sepanjang program berlangsung, petugas dan sukarelawan berdepan macam-macam cabaran. Terima kasih kepada semua pihak yang komited sejak perancangan aktiviti ini,” katanya.

Program itu turut disertai Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri dan Ahli Majlis MPK Puspavali Mahalinggam.


Pengarang :