Selangorkini
Ng Sze Han (tiga, kanan) menyerahkan permit sementara kepada penjaja Adham Syarif, 68, (dua, kiri) di Kampung Selayang Indah, Gombak pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

17 penjaja sekitar Selayang dapat lesen niaga sementara

SELAYANG, 21 SEPT: Seramai 17 penjaja di Taman Selayang Mutiara dan Kampung Selayang Indah dekat sini menerima permit berniaga sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata permit tersebut ditawarkan sendiri oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berikutan semua peniaga tidak pernah membuat permohonan.

“Terdapat 40 peniaga di dua lokasi namun hari ini hanya 17 peniaga menerima permit. Untuk peniaga lain, permit mereka masih diproses kerana dokumen tidak lengkap.

Ng Sze Han

“Pemberian ini hasil usaha proaktif MPS dalam memastikan operasi perniagaan mereka berjalan lancar tanpa ada gangguan dari pihak berkepentingan selain mengelakkan masalah lalu lintas,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau dua lokasi terbabit bersama Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan serta Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi.

Sze Han berkata sebanyak 1,121 permit sementara dikeluarkan MPS sejak Ogos tahun lalu bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menjana pendapatan.

“Semua PBT akan meneruskan usaha ini bagi membantu lebih ramai individu menjana sumber pendapatan. Kita seru supaya semua peniaga mengambil manfaat memohon lesen ini di PBT masing-masing,” katanya.

Awal bulan ini, Sze Han menyerahkan 120 lesen sementara kepada penjaja di Taman Puncak Jalil yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).


Pengarang :