EXCO Pelancongan Hee Loy Sian bersama Tourism Selangor pada majlis penyampaian secara maya kepada 17 pesatuan pelancongan negeri menerusi Facebook agensi itu pada 9 September 2021.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

17 persatuan dapat RM255,000 rancak semula pelancongan negeri

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM255,000 bantuan secara sekali bayar (one-off) kepada 17 persatuan pelancongan di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata bantuan tersebut dengan setiap persatuan menerima RM15,000 adalah bagi merancakkan semula industri pelancongan di Selangor.

“Diharapkan insentif ini akan membantu dan memberi peluang kepada persatuan pelancongan untuk terus memberikan sokongan kepada ahli-ahli mereka,” katanya.

Loy Sian berkata demikian pada majlis penyerahaan bantuan kepada 17 persatuan itu yang diadakan secara maya menerusi Facebook Tourism Selangor hari ini.

Katanya, bantuan itu diharap dapat menjamin kelangsungan industri pelancongan negeri seterusnya menyokong Kempen Pusing Selangor Dulu yang sedang giat dijalankan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi industri pelancongan.

Ia merangkumi RM1 juta bagi geran bantuan kewangan, RM1 juta bagi baucar pelancongan, RM300,000 untuk latihan pembelajaran pendigitalan dan RM255,000 bantuan ‘one-off’ kepada 17 persatuan pelancongan.


Pengarang :