Sukarelawan Selvax, membantu orang ramai mendaftar aplikasi Selangkah bagi menerima suntikan pelalian Covid – 19 ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Serbaguna Taman Kinrara, Puchong pada 26 September 2021. Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

200 dos vaksin bergerak DUN Kinrara habis dalam tempoh empat jam

PUCHONG, 27 SEPT: Kira-kira 200 dos vaksin habis diberikan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara dalam tempoh empat jam menerusi Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

Penyelaras Selgate Aznil Nor Rashed berkata biarpun sambutan positif diterima keadaan masih terkawal dengan penduduk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Penyelaras Selgate, Aznil Nor Rashed

“Kebanyakan penduduk menunggu seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan giliran vaksin. Bagi DUN Kinrara kita menyediakan dua vaksinator untuk proses suntikan kepada penduduk.

“Setakat jam 1 tengah hari 60 peratus daripada warga asing hadir untuk mendapatkan suntikan pelalian dan selebihnya merupakan warga tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Aznil dos kedua berlangsung pada 18 Oktober hadapan di kawasan yang sama.

Terdahulu sebanyak 350 dos pelalian Covid-19 disediakan pada program Selvax bergerak DUN Kinrara.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata suntikan terbuka kepada semua individu termasuk warga asing yang berusia 18 tahun ke atas.

Selvax bergerak DUN Kinrara berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Kinrara 1.


Pengarang :