Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja di PPV Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

20,302 remaja sekitar Hulu Langat dapat dos pertama vaksin

BANGI, 30 SEPT: Seramai 20,302 remaja sekitar Hulu Langat selesai menerima dos pertama pelalian di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini sejak 23 September.

Majoriti peserta membabitkan remaja 16 dan 17 tahun yang berdaftar dengan sekolah masing-masing, kata timbalan pengurus pusat vaksin berkenaan.

Dr Saiful Bahri Md Radzi menjelaskan ada juga remaja hadir tanpa janji temu kerana tidak bersekolah, remaja 12 hingga 15 tahun dan orang kelainan upaya (OKU).

“Walaupun berlaku kesesakan setiap hari berikutan ada kurang faham kriteria vaksin tanpa janji temu, namun segalanya berjalan lancar hasil bantuan sukarelawan,” katanya.

Beliau berkata pemberian dos pertama di PPV terbabit berakhir hari ini dan kesemua remaja berkenaan akan menerima dos kedua di lokasi sama dalam tempoh tiga minggu.

Pada 23 September, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah di negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah yang terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.


Pengarang :