Selangorkini
Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

21,476 kes sembuh Covid-19, melebihi jangkitan baharu

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sebanyak 21,476 jumlah pesakit sembuh akibat jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini sekali gus melebihi kes baharu iaitu 21,176.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kumulatif kes sembuh kini 1,678,962.

Beliau berkata daripada 21,176 kes harian yang dilaporkan, 338 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 20,838 kes atau 98.4 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu juga, empat adalah kes import melibatkan seorang warganegara dan tiga rakyat asing manakala 21,172 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 18,608 warganegara dan 2,564 rakyat asing.

“Sebanyak 341 kematian turut direkodkan hari ini, menjadikan kumulatif kematian seramai 19,827 orang, 1,310 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 773 perlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 37 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,604 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,455 kluster.

Beliau berkata kajian berterusan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) telah mengenal pasti sebanyak 44 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) mengenal pasti sebanyak 59 kes yang kesemuanya adalah varian membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 1,324 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,304 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 1,081 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.97 dengan semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Kedah, Sabah, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Labuan.

Beliau berkata Sarawak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.15 diikuti Terengganu dan Perlis masing-masing (1.09), Pulau Pinang (1.05), Perak (1.03), Johor dan Kelantan masing-masing (1.02), Pahang (1.01) manakala Putrajaya 1.00.

– BERNAMA


Pengarang :