Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

27 keluarga terlibat tanah runtuh terima RM500, kos pindah ditampung

HULU KELANG, 18 SEPT: Kerajaan Negeri memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mangsa turut menerima bantuan bakul makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Bantuan awal ini diharap boleh digunakan oleh keluarga terjejas untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang buat sementara waktu.

“Kita juga akan dapatkan maklumat dari semasa ke semasa sama ada kawasan ini selamat atau tidak untuk mereka pulang,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan awal meletak kanvas di lokasi terjejas bagi mengelakkan terdedah kepada air atau unsur lain yang mungkin boleh mengakibatkan runtuhan baharu.

“Selain itu Jabatan Pengairan dan Saliran juga akan memastikan aliran sungai di lokasi kejadian tidak tersekat,” katanya

Terdahulu Amirudin meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Nor Azmie Diron dan Ahli Dewan Negeri Hulu Klang Saari Sungib.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights.

Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam semalam.

Susulan kejadian, semua mangsa berpindah ke dua buah pusat penempatan sementara di AU2 dan AU5 Lembah Keramat, Kuala Lumpur sebagai langkah keselamatan.


Pengarang :