Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

30.1 peratus daripada 2.53 juta pelajar terima dos pertama vaksin

MELAKA, 26 SEPT: Sebanyak 30.1 peratus daripada keseluruhan 2.53 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata daripada jumlah itu juga 4.4 peratus murid telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang dilaksanakan di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, sekolah, institusi pengajian tinggi, klinik kerajaan dan balai polis.

“Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama manakala 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid berusia 12 hingga 15 tahun mendapat dos pertama mereka.

“Secara keseluruhan program pemberian vaksin melibatkan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV Encore Melaka sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Senator Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut Mah berkata di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah mendapat dos pertama manakala bagi murid berusia 12 hingga 15 tahun, sebanyak 11.5 peratus daripada 51,284 murid telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam melibatkan 76 sekolah menengah.

Beliau berkata pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Kita masih berada di peringkat awal PICK Remaja ini dan kita sedang memantau pelaksanaan program ini untuk melihat usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai murid menerima vaksin,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :