Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Wawasan, Kampung Medan, Sijangkang pada 21 September 2021. Foto SELANGORTV
SELANGOR

300 penduduk DUN Sijangkang terima manfaat program Vaksin Selangor

KUALA LANGAT, 21 SEPT: Seramai 300 penduduk Sijangkang menerima manfaat daripada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak hari ini.

Ketua Kampung Sijangkang Mohd Suhaimi  Mat Kamil berkata kebanyakan mereka terdiri warga asing yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Program hanya menerima individu yang membuat pendaftaran sahaja, ini bagi mengelakkan kesesakan kepada yang datang.

“Kita tidak terima individu tanpa janji jemu malah dos vaksin dibawa juga mengikut jumlah berdaftar dengan penerima datang berperingkat sejak pagi,” katanya.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :