Suasana pasar malam di Seksyen 6, Shah Alam yang dibenarkan beroperasi pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

33 pasar malam sekitar Klang dibuka berperingkat bermula hari ini

SHAH ALAM, 20 SEPT: Sebanyak 33 lokasi pasar malam sekitar Klang dibuka secara berperingkat bermula hari ini, kata pengarah komunikasi korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Norfiza Mahfiz berkata dua pasar malam yang dibuka hari ini adalah di Bandar Sultan Suleiman dan Taman Kandis Permai bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

“Sebanyak 22 lagi pasar malam pula akan dibuka esok hingga Jumaat antaranya di sekitar Kapar dan Meru.

“Sembilan lagi pasar malam termasuk di kawasan Pulau Indah dibuka pada 25 dan 26 September. Semua peniaga dan pengunjung diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), seramai 5,072 peniaga pasar pagi dan malam dibenar menjalankan perniagaan bermula Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata jumlah itu melibatkan 3,721 peniaga pasar malam serta 1,351 peniaga pasar pagi.

“Setakat ini tiada pasar yang diarah tutup sejak memulakan operasi dan pemantauan dilakukan penguat kuasa MBSA dan juga petugas jabatan pelesenan.

“MBSA mohon kerjasama daripada pengunjung supaya dapat SOP yang ditetapkan supaya dapat mencegah serta memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.


Pengarang :