Datuk Seri Rina Harun menjawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 20 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

4,422 murid jadi yatim akibat Covid-19 setakat September

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 4,422 murid di seluruh negara kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dengan 154 daripadanya menjadi yatim piatu, kata menteri pembangunan wanita dan keluarga.

Datuk Seri Rina Harun menjelaskan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu direkodkan sejak penularan pandemik pada awal tahun 2020 hingga 13 September lalu.

Berikutan itu, katanya, kerajaan mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kewangan bulanan melalui tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak berjumlah RM150 hingga RM1,000.

“Kita turut memberi perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak terbabit. Bagi kanak-kanak tidak mempunyai penjaga atau keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat menempatkan mereka di tujuh rumah perlindungan ditetapkan mengikut zon,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Hannah Yeoh (PAKATAN-Segambut) berhubung jumlah kanak-kanak yang menjadi yatim akibat Covid-19 dan usaha kerajaan untuk membantu mereka.

Rina berkata pihaknya juga berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, KPM dan polis bagi menyelaras data kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak itu bagi memudahkan urusan membantu mereka.

“Kita mahu memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.


Pengarang :