Sukarelawan membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Hulu Bernam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Orang Ramai,Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 9 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

465 OKU Selangor terima bantuan kewangan RM500

SHAH ALAM, 5 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500 kepada 465 orang kelainan upaya (OKU) yang layak setakat ini.

Ketua jabatan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 disalur sejak 5 Julai lalu membabitkan peruntukan bernilai RM232,500.

“Ini bermakna kita sudah menggunakan 38 peratus daripada RM600,000 dana yang diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan OKU.

“Ketika ini proses penilaian daripada pemohon lain sedang dibuat sebelum bayaran diagih berperingkat pada Isnin setiap minggu,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 7,000 permohonan direkodkan sejak dibuka 1 Julai lalu, namun kuota hanya dihadkan kepada 1,200 individu.

“Kita menyasarkan OKU yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 misalnya gaji dipotong atau hilang pekerjaan dengan mengemukakan dokumen pengesahan gaji terkini dari majikan atau mengisi borang akuan pendapatan disahkan wakil rakyat, ketua kampung dan pengerusi badan pengurusan bersama (bekerja sendiri).

“Pada masa sama, kita berterima kasih kepada pihak yang membantu mempromosi bantuan ini terutama media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar,” katanya.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.


Pengarang :