Petugas kesihatan Selvax lengkap berpakaian tradisional memberi suntikan pelalian kepada penerima dos kedua vaksin sempena Hari Kebangsaan ke – 64 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

47.2 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Sebanyak 47.2 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau seramai 15,429,300 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, seramai 20,115,233 individu atau 61.6 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 35,519,754 dos.

Berdasarkan perkongsian maklumat itu juga, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 65.9 peratus setakat semalam berbanding 65.1 peratus, pada Rabu.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 369,280 dos diberikan, iaitu 187,645 merupakan dos kedua dan baki 181,635 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bertujuan melaksanakan program vaksinasi bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :