Kakitangan Mais menghantar bantuan makanan kepada keluarga terkesan akibat Covid-19 sekitar sekitar Klang, Hulu Langat dan Sepang pada 31 Ogos 2021. Foto FACEBOOK MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

472 keluarga terjejas akibat Covid-19 terima bantuan Mais

SHAH ALAM, 31 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terus aktif membantu golongan terkesan akibat Covid-19 dengan 472 keluarga di sekitar Klang, Hulu Langat dan Sepang dibantu semalam.

Agensi itu memaklumkan agihan fidyah berjumlah RM47,200 itu adalah dalam bentuk makanan asasi seperti beras, tepung, minyak dan gula yang bernilai RM100.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih kepada 21 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri kariah surau dan masjid yang terlibat kerana memberi kerjasama menjayakan agihan sumbangan kepada penerima.

“Antara RSFM yang terlibat hari ini ialah Surau At Taqwa Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, Surau Ar-Raudah, Surau AlFallah Dengkil, Surau Al Husna Desa Sentosa, Masjid Al Muttaqin Dusun Tua Hulu Langat, Surau Al Hidayah Kajang dan Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi,” katanya menerusi kenyataan.

Mais berkata kepada yang masih belum menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh melakukannya secara dalam talian melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Mais mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.


Pengarang :