Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Program Penghantaran Pelajar JAIS ke Jordan di JAIS pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

485 guru Kafa ditawar vaksin sebelum dikena tindakan tegas

SHAH ALAM, 16 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakasanakan program vaksinasi khas kepada 485 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang masih belum mengambil pelalian.

Pengarah Dato’ Shahzihan Ahmad berkata sekiranya guru berkenaan tidak memanfaatkan program disediakan, mereka bakal dikenakan tindakan tegas.

“Program pertama pada 22 September ini. Kita dah serahkan senarai nama yang masih belum vaksin untuk hadir. Jika tak dapat hadir pada tarikh itu, kita tawarkan proses suntikan di daerah masing-masing.

“Namun jika masih lagi enggan, tindakan tegas dikenakan selepas perbincangan dengan para pegawai. Ini kaedah terbaik untuk melegakan semua pihak,” katanya pada majlis pelepasan 65 pelajar ke Jordan malam ini.

Menurut Shahzihan langkah itu diambil demi kepentingan pelajar yang bakal ke sekolah selain ia membabitkan aspek kesihatan awam.

“Isunya bukan mereka tanggung sendiri (risiko) tetapi libatkan organisasi dan menjadi tanggungjawab saya.

“Gelombang baharu libatkan pelajar mungkin berlaku jadi (ambil vaksin) ini sebagai ikhtiar kita. Walaupun hukumnya harus namun kita kena kesian kepada anak-anak,” katanya.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedar akan risiko jangkitan dan vaksin dapat mengelakkan kesan lebih buruk termasuk kematian.


Pengarang :