Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid ketika temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

56 pendaki ditahan, masuk kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit

SHAH ALAM, 26 SEPT: Jabatan Perhutanan Selangor menahan 56 pendaki yang memasuki kawasan Air Terjun Setinggi, Serendah, dekat Hulu Selangor tanpa permit yang sah, semalam.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata kesemua individu berusia 19 hingga 33 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang, lapor Berita Harian.

Katanya operasi dijalankan sepasukan pegawai dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor bersama polis, susulan aduan penduduk.

“Penduduk mendakwa ramai pendaki masuk ke kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit sah, melalui kawasan kediaman mereka.

“Penduduk juga mendakwa pengunjung meletak kenderaan di tepi jalan rumah sehingga merosakkan paip air dan tong sampah, selain meninggalkan sampah merata-rata,” katanya dalam  kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadzil menegaskan negeri ini masih berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), justeru pihaknya tidak mengeluarkan permit masuk untuk aktiviti merentas hutan atau rekreasi.

Susulan itu, beliau berkata, tindakan memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit sah, merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).

“Kesemua individu ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.


Pengarang :