Orang ramai menunggu giliran untuk mendapat suntikan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves pada 15 September 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

600 dos habis disuntik, Vaksin Selangor ‘laris’ di DUN Gombak Setia

GOMBAK, 15 SEPT: Sebanyak 600 dos vaksin negeri habis disuntik kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia hari ini dalam tempoh beberapa jam.

Penyelarasnya Rahim Kasdi berkata program yang sepatutnya berlangsung sehingga jam 5 petang tamat tiga jam lebih awal berikutan sambutan luar jangka, termasuk dalam kalangan warga asing.

“Hasil tinjauan selepas jam 2 petang masih ramai beratur di luar dewan untuk mendapatkan vaksin. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pelalian semakin meningkat.

Rahim Kasdi

“Jika perlu kita akan bincang dengan Selcare untuk anjurkan lagi program ini pada masa akan datang,” katanya pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves di sini.

Rahim turut menyeru individu yang belum mendapat vaksin untuk menyertai Selvax bergerak DUN Bukit Antarabangsa dan Batang Kali esok.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Hulu Bernam, DUN terlibat Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :