Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Sabariah Salleh. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

675 keluarga Orang Asli negeri dapat duit, bantuan makanan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 675 keluarga Orang Asli Islam negeri ini akan menerima bantuan makanan asas bernilai RM100 melalui program agihan fidyah Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Setiap keluarga juga menerima wang tunai RM200 yang dimasukkan terus dalam akaun, kata ketua penolong pengarah bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Selangor.

Menurut Sabariah Salleh, agihan membabitkan 74 perkampungan dari tujuh daerah negeri ini akan dibuat dalam program khas tidak lama lagi.

“Program penyerahan itu nanti kesinambungan daripada fasa pertama memandangkan sebelum ini mereka sudah menerima bakul makanan yang disumbangkan agensi sama,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima cek cura berjumlah RM135,000 yang disampaikan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Sabariah berkata sumbangan tersebut bukti keprihatinan agensi itu terhadap kebajikan masyarakat pribumi yang tidak terkecuali berdepan kesukaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau turut menyeru orang ramai berkongsi pandangan bagi meningkatkan taraf hidup Orang Asli selain menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Mais dan agensi lain bawah hal ehwal pengurusan Islam yang memberi sumbangan dari semasa ke semasa demi kemaslahatan masyarakat Orang Asli,” katanya.


Pengarang :